JURANG DIGITAL & PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

 Pendidikan Lanjutan Untuk Tentera

 

JURANG DIGITAL DAN KESAN TERHADAP PERKEMBANGAN

PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

Mokmin bin Basri

Fakulti Teknologi dan Sains Informasi

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Persiaran Putra 1, Bandar Seri Putra, 43000 Bangi,

Selangor Darul Ehsan.

Tel: 03-8925 4251 ext 1316, 013-371 7579

Fax: 03-8926 6937

mokmin73@yahoo.com

Abstrak: Sistem ekonomi dunia terus berkembang dan berubah ke era yang dipanggil ekonomi berasaskan pengetahuan (Knowledge-Based Economy) dan Malaysia sebagai sebuah negara membangun telah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi bagi menangani cabaran fenomena ekonomi baru ini lebih sedekad lalu melalui Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITA) yang dilancarkan pada Disember 1996 oleh Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC) dan Koridor Raya Multimedia dengan tujuh flagship utamanya serta melalui Pelan Induk K-Ekonomi Negara. Internet dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah pemangkin dan pembolehubah kepada perubahan besar ini. Tanpanya aktiviti penting kepada sistem ekonomi ini iaitu eksplorasi, eksploitasi dan penciptaan pengetahuan akan gagal. Justru pendidikan jarak jauh, pendidikan terbuka, pendidikan sepanjang hayat atau apa juga ‘jargon’ yang digunakan semakin penting dan perlu diperluaskan. Menyedari kepentingan pendidikan berkonsepkan ‘open’ dan ‘distance’ ini maka asas kepada akses Internet dan eksploitasi ICT perlu diperbaiki. Masalah akses dan penggunaan ICT yang dipanggil jurang digital masih wujud dan yang perlu ditangani oleh semua pihak dengan segera dan berkesan. Kertas kerja ini adalah berdasarkan kajian diskriptif yang bersumberkan kepada dokumen-dokumen yang berkaitan bagi melihat sejauh mana jurang digital ini akan memberikan kesan kepada pendidikan sepanjang hayat dan seterusnya bagaimana ia memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada perkembangan K-Ekonomi di Malaysia.

Keyword: K-Ekonomi, Jurang Digital, Pendidikan Sepanjang Hayat


Pendahuluan

Ekonomi berasaskan pengetahuan (K-Ekonomi) telah menjadi satu sistem ekonomi global yang tidak dapat dielak lagi oleh sesiapa pun lagi. Sistem ekonomi pasca industri ini menagih sesebuah negara menyediakan bukan sahaja prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) malah sebuah masyarakat yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan tetapi mampu mencipta dan mengeksploitasikannya. Kegagalan sesebuah negara dan bangsa untuk menyediakan prasyarat ini hanya akan membenarkan mereka tertinggal dari persaingan global. Alhamdulillah, Malaysia pantas menyedari perkembangan ini dan telah mengambil langkah-langkah proaktif dan wajar bagi mendepani fenomena ekonomi baru ini. Penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996 dengan tujuh ‘flagships’nya telah dengan jelas menunjukkan komitmen pihak berwajib beranjak kepada ekonomi digital ini. Menurut sumber Multimedia Development Corp Sdn Bhd (MDC), sebanyak 140 daripada 701 syarikat yang berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) terlibat dengan kegiatan perdagangan elektronik seperti kewangan, logistik, pembangunan gerbang, pembangunan perisian aplikasi dan pengurusan pelanggan. Selain itu, kerajaan Malaysia juga telah melancarkan Pelan Induk Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (PIEBP) pada tahun 2002 untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi negara ke arah pencapaian K-ekonomi (Abdul Rahim Anuar 2004). Ini adalah indikator- indikator jelas yang mencerminkan kesungguhan negara Malaysia untuk beranjak dari sistem ekonomi berasaskan industri dan pertanian semata-mata.

Namun begitu agenda besar kerajaan tidak akan terlaksana dengan sempurna jika masih wujud jurang digital yang agak ketara dikalangan anggota masyarakat di Malaysia terutama dikalangan rakyat biasa. Jurang digital yang masih ketara memberikan kesan yang tidak sihat diantaranya kepada aktiviti-aktiviti pendidikan dan yang paling utama dan ketara kepada pendidikan jarak jauh. Sedia dimaklumi, teknologi ICT adalah pemangkin kepada aktiviti pendidikan dan pekerja pengetahuan (David N. Abdulai 2001). Masalah ini jika tidak diatasi segera, sudah pasti boleh membantutkan usaha melahirkan golongan pekerja berpengetahuan yang seterusnya membentuk masyarakat berpengetahuan yang merupakan pemangkin kepada K-Ekonomi.

Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (K-Ekonomi)

K-Ekonomi boleh ditakrifkan sebagai satu sistem ekonomi dimana penghasilan dan pengeksploitasian pengetahuan adalah sebagai satu bahagian yang paling dominan bagi menjana kekayaan (David N. Abdulai 2001). Ekonomi ini mempunyai dua prinsip asas iaitu pengetahuan dan Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

1. Pengetahuan (knowledge)

‘The K-economy is about knowledge and the ability to use it to create new value and wealth. Wealth is measured by the results of knowledge that is inventively applied’. (Tengku Azzman Shariffadeen 2001).

2. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)

Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah asas dan pemboleh utama K-ekonomi (G. Manimaran, 2002). ‘Information and Communication Technology (ICT) is an important enabler of change towards a knowledge economy’ (David N. Abdulai 2001).

Ciri-Ciri K-Ekonomi

K-Ekonomi mempunyai ciri-ciri khusus berbanding sistem-sistem ekonomi sebelumnya. Di bawah ini dibentangkan ciri-ciri ekonomi ini berbanding sistem-sistem ekonomi sebelumnya.

1. Kedudukan dan Nilai Pengetahuan

Dalam ekonomi yang berasaskan pertanian (Agricultural based economy), kekayaan (wealth) diukur dengan tanah dan hasilnya. Oleh sebab itu semakin luas tanah yang dimiliki, semakin banyak hasil yang boleh dikeluarkan dan semakin kayalah seseorang itu. Dalam sistem ekonomi berasaskan barangan pula, kekayaan diukur dengan produktiviti industri. Oleh itu, semakin banyak kuantiti barang yang dihasilkan oleh kilang, semakin kayalah pula ‘tauke’nya.

Walaupun masih mengambil asas-asas utama dari sistem ekonomi terdahulu, terdapat perbezaan yang agak ketara dalam K-ekonomi kerana ia didominasi oleh satu elemen yang begitu ketara iaitu elemen pengetahuan (knowledge). Justru kekayaan dalam zaman ini tidak lagi diukur dengan luasnya tanah atau produktiviti suatu produk dari bidang industri, tetapi dinilai dengan sejauh mana pengetahuan dapat diaplikasikan secara kreatif dalam semua bidang dan aktiviti kehidupan sesebuah masyarakat.

2. Sifat Produk

Dalam pertanian yang bercirikan K-ekonomi sebagai contoh, pengetahuan boleh dimanfaatkan bagi menjalankan kerja-kerja supaya lebih efektif melalui penggunaan bahan-bahan tanaman yang baik, memperbaiki kaedah-kaedah saliran dan penanaman serta meningkatkan saluran pemasaran hasil-hasil pertanian.

Manakala dalam bidang Industri berasaskan pengetahuan (K-based industries) pula perkhidmatan atau aplikasi yang dulunya hampir mustahil seperti teleperubatan dan ‘web-based learning’ dapat dilaksanakan. Pengetahuan akan menjadi satu nilai tambah yang apabila diadun dengan elemen kreatif, pelanggan dan pengguna dapat mengakses atau menggunakan produk serta mendapatkan perkhidmatan dengan pantas, mudah, dan murah.

3. Pekerja Berpengetahuan (Knowledge Worker)

Berbanding dengan sistem ekonomi sebelumnya, sistem kemasyarakatan dalam k-ekonomi adalah berbeza. Dalam sistem ini, setiap golongan masyarakat sentiasa membuka serta mencari jalan bagi penghasilan pengetahuan baru dan menggunakan pengetahuan sedia ada secara kreatif bagi menjalankan semua bidang dan aktiviti hidup. Indikator bagi keperluan ini boleh dilihat dari apa yang dipanggil ‘learning society’. ‘In a learning society, new knowledge and new interpretation and application of knowledge are continuously being sought to enhance the economic and social activities of the society’ (David N. Abdulai 2001).

Jurang Digital

Daripada rajah 1 di bawah, dapat diperhatikan bahawa wujud pertalian yang kuat di antara k-ekonomi dan ICT. Tidak dapat disangkal lagi bahawa ICT adalah pemangkin kepada aktiviti-aktiviti k-ekonomi. Dengan menggunakan ICT segala perkembangan dan pengetahuan baru dapat diikuti dan ditimba dihujung jari. Begitu juga aktiviti Pendidikan Sepanjang Hayat walau apa juga istilahnya seperti Pendidikan Jarak Jauh, ‘Virtual Learning’, ‘E-Learning’, Pendidikan Terbuka dan sebagainya, ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan teknologi ICT khususnya Internet. Aktiviti dan aplikasi ini seterusnya memungkinkan lahirnya sebuah masyarakat yang diistilahkan sebagai ‘knowledge society’ iaitu pengerak penting dalam k-ekonomi. Justru kegagalan untuk aktif menggunakan ICT dalam masyarakat adalah petanda bahawa perkembangan k-ekonomi sedang bergerak perlahan malah jika lebih kritikal, dikuatiri negara akan terkeluar dari gelanggang k-ekonomi ini. Justru kegagalan yang disebabkan secara amnya oleh jurang digital ini mesti diubati segera.

Memang diakui bahawa terdapat jurang digital yang berlaku dalam pelbagai situasi mengikut tahap pembangunan sebuah negara, antara bandar dan pendalaman, antara penduduk kaya dan miskin, berpendidikan tinggi atau tidak , lelaki dan wanita dan generasi muda dan tua seperti dalam Laporan Pembangunan Telekom – Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsan (ITU) 2002.

Walaupun telah menunjukkan perkembangan yang agak menggalakkan, di Malaysia masalah jurang digital ini boleh dianggap masih ketara dan serius. Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, kadar penggunaan komputer di kalangan rakyat di negara ini masih rendah iaitu hanya berada pada tahap 18 peratus (Utusan Malaysia 19 Februari 2005). Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis pula mendedahkan kadar langganan talian tetap telefon di Malaysia masih rendah, disebabkan kurangnya langganan talian tetap tersebut pengguna Internet di negara ini hanya mencapai kadar 11 peratus sahaja (Utusan Malaysia 29 September 2004). Pernyataan tersebut menguatkan lagi fakta dari Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia tentang tahap penembusan komunikasi asas talian tetap iaitu kira-kira 22 peratus pada 2002 dan menjadi kira-kira 35 peratus pada tahun 2005 (Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia 2002). Manakala tahap penembusan komputer peribadi juga belum memberangsangkan iaitu kira – kira 12 peratus sehingga Julai 2002. Justru tidaklah menghairankan jika statistik pada Mac 2002 menunjukan kadar penembusan Internet di Malaysia hanyalah 9.2 peratus sahaja (Mohd Ridzwan Md Iman, 2002). Angka ini tidaklah begitu menggalakan kerana menurut laporan dari Agensi Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) negara-negara membangun menunjukkan nilai 33 peratus pengguna Internet baru pada tahun 2001 (Utusan Malaysia 2002). Maka jika dibandingkan Malaysia dengan negara-negara membangun yang lain sahaja sudah menunjukan kita masih jauh ketinggalan apatah lagi dibandingkan dengan negara-negara maju.

Jurang digital ini bukan sahaja dirasai oleh masyarakat luar bandar malah lebih tidak sihat, mengikut laporan utusan Malaysia pada 21 November 2002, penghuni-penghuni kawasan perumahan baru di pinggiran bandar juga menghadapi masalah serupa. Dilaporkan bahawa penduduk-penduduk tersebut mendapat talian telefon selepas dua hingga tiga tahun memasuki rumah baru mereka.

Takrif Internet dan kadar sewa telefon tetap yang agak tinggi juga tidak dapat dinafikan menyumbang kepada jurang digital ini. Sebagai contoh, pelanggan yang menggunakan Internet satu jam sehari akan membelanjakan kira-kira RM 45.00 sebulan bagi tujuan tersebut. Ditambah dengan kadar sewa tetap telefon sebanyak RM 23.00 sebulan, pelanggan akan membelanjakan sebanyak RM 68.00 untuk aktiviti ini. Angka ini walaupun nampaknya kecil namun ia cukup tidak menggalakkan penggunaan Intenet terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah. Mengambil contoh petani dimana 74 peratus daripada petani mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan iaitu kurang RM500 sebulan (Utusan Malaysia 23 Julai 2005), membelanjakan hampir 14 peratus dari jumlah pendapatan mereka untuk Internet, sudah tentu sukar untuk memungkinkan mereka akan aktif dengan aplikasi ICT ini. Bukan sahaja golongan petani, kakitangan kerajaan kumpulan sokongan pun memperoleh gaji terendah sebanyak kira-kira RM500 (Utusan Malaysia 12 Oktober 2005), hampir pasti golongan ini pun akan terus tersisih dari arus ICT. Fakta-fakta di atas mungkin membenarkan lagi hasil kajian Education Quarterly 2001, yang menyatakan bahawa 83 peratus penduduk luar bandar berpendapat bahawa takrif telefon adalah mahal dan 60 peratus orang Bandar berkongsi pendapat yang sama.

Justru usaha-usaha untuk memperbaiki ‘figures’ yang kurang enak tadi harus diperhebatkan kerana jika tidak jurang digital akan semakin melebar, pendidikan sepanjang hayat tidak dapat dilaksanakan dengan meluas seterusnya akan tinggal harapanlah untuk melahirkan ‘knowledge society’, pemacu kepada k-ekonomi. Manakala kesan yang paling mengecewakan adalah agenda kerajaan untuk menganjakkan sistem ekonomi berasaskan perindustrian ke sistem ekonomi baru – k-ekonomi akan terbantut.

Bagi mengurangkan jurang digital yang wujud, beberapa usaha telah dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan seperti menyediakan peruntukan bernilai RM375 juta bagi melengkapkan semua 10,000 sekolah dengan talian telefon menjelang akhir 2004 (Utusan Malaysia 29 September 2004). Selain itu, kerajaan juga menyediakan kemudahan jalur lebar di 6,522 buah sekolah oleh Kementerian Pelajaran melalui projek `schoolNet’ (Utusan Malaysia 30 Januari 2005). Sementara itu, bagi merapatkan jurang digital di antara penduduk bandar dan luar Bandar, satu daripada strategi bagi mencapai matlamat tersebut ialah memperkenalkan Program Internet Desa (PID). Program bawah kelolaan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi ini telah mula dilaksanakan dalam tahun 2000. Sejak penubuhannya, sehingga kini, terdapat 39 lokasi PID di seluruh negara yang melibatkan semua negeri kecuali Wilayah Persekutuan (Utusan Malaysia 29 September 2004). Selain itu usaha-usaha seperti yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM) untuk mengumpulkan dana Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) bagi membangunkan prasarana telekomunikasi dan akses Internet di kawasan pendalam amat dialu-alukan.

Selain kerajaan pusat, inisiatif dan komitmen dari kerajaan-kerajaan negeri contohnya Selangor dengan mewujudkan Pusat Teknologi Maklumat dan Kelab IT Selangor (KITS) di semua daerahnya patut dicontohi oleh negeri-negeri lain di Malaysia. Usaha ini dipercayai dapat mengurangkan jurang digital di antara masyarakat bandar dan luar bandar dan memberikan pendedahan kepada dunia digital dan seterusnya menjadi pemain di dalam dunia ekonomi berasaskan pengetahuan ini.

Pendidikan Sepanjang Hayat

Bagi menjamin kesinambungan pengetahunan dikalangan pekerja khususnya, pendidikan sepanjang hayat adalah salah satu faktor penting bagi K-Ekonomi. Pendidikan sepanjang hayat bukanlah fenomena baru dalam bidang pendidikan, namun dalam sistem ekonomi digital kini, ianya semakin penting dan memberikan kesan ketara kepada ekonomi sesebuah negara. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), perkembangan sistem pendidikan ini sangat pantas dimana Jabatan Pendidikan AS mendapati bahawa 58 peratus dari semua kolej menawarkan pendidikan sepanjang hayat pada tahun 1998, angka ini dijangka meningkat kepada 84 peratus pada 2002. Dalam pada itu, jumlah nilai dolar bagi produk dan perkhidmatan bagi sistem pendidikan tersebut yang naik mendadak dari kira-kira 7.1 bilion dolar pada tahun 2000 kepada kira-kira 40.2 bilion dolar pada tahun 2005 (Education Commission of the States 2005).

Malaysia juga tidak terkecuali dalam perlaksanaan sistem pendidikan seumpama ini dimana kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi akan mewujudkan satu dasar baru ke atas pembelajaran yang berasaskan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di semua institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia. Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Fu Ah Kiaw, polisi itu yang menjurus kepada pelaksanaan program e-Pembelajaran (e-Learning) bertujuan untuk meningkatkan imej IPT ke arah yang lebih global serta dikenali di peringkat antarabangsa. Program e-Pembelajaran yang sebelum ini hanya dipraktikkan di beberapa buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) akan dilaksanakan secara meluas kerana ia memberi banyak manfaat kepada pelajar (Utusan Malaysia 2 September 2005).

Satu bukti bahawa sistem pendidikan seumpama ini telah diterima dengan begitu baik di Malaysia ialah Universiti Terbuka Malaysia (OUM). OUM milik IPTA-IPTA Malaysia yang baru sahaja dibuka pada tahun 10 Ogos 2000, telah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dari segi jumlah pengambilan pelajar iaitu bermula dengan pengambilan pertama seramai 753 pelajar pada bulan Ogos 2001 kepada 25,000 pelajar pada tahun 2005. Peningkatan yang bukan sahaja sihat bagi K-Ekonomi, malah dipercayai memberikan sumbangan besar kepada melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan.

Hubungkait Jurang Digital dan Pendidikan Sepanjang Hayat dalam K-Ekonomi

Dalam apa juga sistem ekonomi, pemegang watak utama yang memainkan peranan adalah manusia atau pekerja (worker). Watak inilah yang berubah-ubah dari satu fasa ekonomi ke fasa seterusnya. Bagi ekonomi berasaskan pertanian, watak ini perlu memiliki kekuatan fizikal sebagai ciri utama. Manakala bagi ekonomi perindustrian, watak ini tidak perlu lagi kekuatan fizikal sabagai ciri utama tapi harus meningkat sebagai watak yang perlu memiliki maklumat. Namun bagi ekonomi order baru, watak ini bukan sahaja perlu memiliki maklumat, tetapi pengetahuan yang bukan sahaja statik di ingatan tetapi pengetahuan yang dimanipulasi dan dicanai dengan kreatif bagi menghasilkan pengetahuan baru atau setidak-tidaknya menjadi ‘value added’ kepada produk pertanian dan perindustrian tadi. Oleh kerana pengetahuan yang berteraskan aqal ini ‘dynamic’ sifatnya maka faktor pendidikan sepanjang hayat merupakan satu elemen penting dalam pembangunan K-ekonomi ini untuk melahirkan apa yang diistilahkan sebagai ‘knowledge worker’ (G. Manimaran 2002). Disinilah ICT memainkan peranan penting sebagai pemboleh dan pemangkin kepada pendidikan sepanjang hayat bagi melahirkan pekerja-pekerja yang berpengetahuan. Pertalian diantara faktor di atas dapat digambarkan melalui gambarajah 1 di bawah.

Pembelajaran Sepanjang Hayat(Dibantu ICT)
Pekerja Berpengetahuan
Pekerja
kreative
Inovatif
Pekerja Baru Hasil Dari Sistem Pendidikan

Ekonomi Berasaskan Pengetahuan

Industri dan Pertanian Baru Yang Berasaskan Pengetahuan

 
   

 
 

 

Rajah 1: Perkaitan isu-isu di dalam k-ekonomi

Jurang digital yang wujud akan memberikan kesan negatif kepada pendidikan sepanjang hayat kerana ICT adalah alat kepada pekerja-pekerja bagi meningkatkan pengetahuan mereka terutama yang berkaitan dengan bidang kerja masing-masing. Pekerja-pekerja yang tidak meningkat pengetahuannya, tidak akan dapat bersaing dengan baik terutama bagi membangunkan produk-produk baru atau menambah nilai kepada produk-produk sedia ada. Produk-produk yang tidak mempunyai nilai tambah seterusnya tidak akan dapat bersaing dipasaran terutama dipasaran terbuka. Jika ini berlaku, sudah tentu ekonomi sesebuah negara akan terjejas dengan begitu ketara.

Kesimpulan

Malaysia telah mengorak langkah untuk terus meletakkan negara di dalam persaingan dan perubahan sejagat kerana tidak mahu ketinggalan dalam perubahan ekonomi elektronik bersifat global. Malaysia telah menunjukkan beberapa tanda perkembangan yang positif dan sangat menggalakkan. Namun begitu dari ‘facts and figures’ yang dibentangkan di atas, harus diakui walaupun pahit bahawa, jurang digital masih ketara dalam masyarakat. Jurang ini perlu diatasi dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak yang berkenaan. Komitmen dari semua pihak perlu bagi mengatasi kekurangan ini. Tanpa mempertikaikan sesuatu perniagaan itu perlu membuat keuntungan, penulis berkongsi pendapat dengan bekas Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Datuk Dr. Hamdan Adnan, “kerajaan melalui agensi-agensi di bawahnya harus menjadikan talian telefon sebagai satu perkara asas yang wajib disediakan” (Mohd Ridzwan Md Iman, 2002). Dengan adanya talian telefon tetap ini, potensi pengguna untuk mengakses Internet semakin tinggi. Disamping itu, pendekatan membantu golongan kurang berada untuk menikmati teknologi terkini juga perlu difikirkan bersama. Justru kadar takrif Internet dan kadar sewa telefon tetap perlu difikirkan semula melalui berbagai cara dan sebagai contoh dengan memberikan subsidi kepada masyarakat luar bandar atau kurang berada tadi. Disamping itu usaha-usaha untuk merapatkan jurang digital terutama bagi masyarakat luar bandar perlu diberikan perhatian dengan sewajar-wajarnya. Dengan komitmen dari semua pihak, tidak mustahil jurang digital dapat dikurangkan seminimum mungkin dan ini akan menyemarakkan lagi pendidikan sepanjang hayat kepada semua golongan masyarakat dari penjawat awam, pekerja industri hinggalah kepada para petani. Seterusnya masyarakat berpengetahuan ini akan menyumbang kepada perkembangan K-ekonomi.

Rujukan:

1. Abd Ghafar Ismail. 2002. E-Dagang dan Pengaplikasinya di Sistem Perbankan Malaysia. Kertas kerja dibentangkan di Konvensyen Kebangsaan Pengajian Islam dan Teknologi, anjuran Kolej Teknologi Islam Melaka, 11 dan 12 September, Melaka.

2. Abdul Rahim Anuar. 2004. Jurang infra & infostruktur. Utusan Malaysia, 13 Disember.

3. Berita Harian. 2002. Negara Hasilkan 180,400 K-Pekerja, 3 Julai.

4. David N. Abdulai, Editor. 2001. Malaysia And The K-Economy: Challenges, Solutions, And The Road Ahead. Subang Jaya: Pelanduk Publication.

5. Education Commission of the States. 2005. The State of E-Learning in the States. http://www.nga.org/cda/files/060601ELEARNING.pdf.

6. G. Manimaran. 2002. Pendidikan Sepanjang Hayat Kunci K-Ekonom. Utusan Malaysia, 12 September.

7. Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Malaysia. 2002. Soal Jawab Mengenai Pengumuman Pengimbangan Takrif Telefon Talian Tetap (Komunikasi Asas), 19 Februari.

8. Michael Potashnik & Joanne Capper. 1998. Distance Education: Growth and Diversity. Worldbank, Finance & Development (March): 42-45.

9. Mohd Ridzwan Md Iman. 2002. Jurang Digital di Bandar – Dilema penghuni perumahan baru yang dipinggirkan. Utusan Malaysia, 21 November.

10. Paul Conway. 2002. Digital Technology Made Simpler. Yale University Library, http://www.nedcc.org/plam3/tleaf54.htm, 21 Mac 2005, 9.55 am.

11. Rancangan Malaysia Kelapan (2001 – 2005)

12. Tengku Azzman Shariffadeen. 2001. Get Set For The K-Economy. The Star, April 25.

The World Bank Group. 2005. World Development Indicators. http://www.worldbank.org/data/wdi2005/.

13. UNCTAD Secretariat. 2005. E-Commerce and Development Report 2004. http://www.unctad.org/Templates/WebFlyer.asp?intItemID=3356〈=1, 18 Mac 2005.

14. Universiti Terbuka Malaysia. 2005. OUM Today, Issue 9 – January/February 2005. http://www.oum.edu.my.

15. Utusan Malaysia. 2002. Internet, E-Dagang Terus Berkembang, 21 November.

16. Utusan Malaysia. 2004. Internet Desa – Merapatkan Jurang Digital Di Pedalaman, 29 September.

17. Utusan Malaysia. 2004. Pendapatan perkapita meningkat RM15,336. 12 Oktober.

18. Utusan Malaysia. 2004. Talian Telefon Tetap Penting Untuk Internet, 29 September.

19. Utusan Malaysia. 2005. Dasar baru ICT di semua IPT, 2 September.

20. Utusan Malaysia. 2005. Komitmen Pelbagai Kementerian Bantu Kurang Jurang Digital, 30 Januari.

21. Utusan Malaysia. 2005. Penggunaan Komputer Masih Di Tahap Rendah, 19 Februari.

22. Utusan Malaysia. 2005. Usaha revolusi sektor pertanian perlu terkandung dalam ANB, 23 Julai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: